Sanggup berenang tinggalkan kekasih takut ditangkap basah, kereta terbabas masuk sungai di Alor Gajah


  • 112
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Perodua Myvi yang dinaiki pasangan kekasih terbabas ke dalam sungai di Paya Lebar, Alor Gajah, Melaka pada Khamis malam.

BIMBANG ditahan kerana disyaki berkhalwat di dalam kereta, sepasang kekasih nekad melarikan diri dengan memecut kenderaan sejauh kira-kira 14 kilometer dari kawasan Hutan Simpan Masjid Tanah hingga ke Paya Lebar, Alor Gajah, Melaka pada Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Myvi bertindak memecut keretanya dalam kejadian pukul 9.30 malam.

Menurutnya, lelaki itu bertindak demikian sejurus berselisih dengan kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan hutan simpan berkenaan.

BACA LAGI: Kenderaan hilang kawalan, pemandu treler maut tertimbus dalam tanah sewaktu terjun selamatkan diri di Kota Kinabalu

BACA LAGI: Pemuda sesat 6 jam lepas beraya dalam kebun getah angkara aplikasi trafik di Kedah

"Setibanya di Paya Lebar, kereta itu terbabas ke dalam sungai dan pemandunya terus melarikan diri dengan berenang ke seberang.

"Anggota peronda yang tiba di tempat kejadian membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu namun tidak menjumpai barang salah.

"Terdapat seorang wanita berusia 26 tahun di dalam kereta, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ashari berkata, anggota peronda kemudian menghantar wanita itu Telok Gong, Klang, Selangor yang difahamkan rumah saudaranya berada di situ.

"Siasatan mendapati suspek disyaki melarikan diri kerana takut ditahan oleh pihak polis sebab disyaki berkhalwat dengan teman wanita yang baru dikenali di dalam kereta.

"Kereta suspek terbabas sendiri dan tiada sebarang kemalangan membabitkan kenderaan lain dan tiada tangkapan dan rampasan dibuat.

"Semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram