[VIDEO] Nak elak kena baling botol kaca, pengadil 'karate' staf kejurulatihan di Peru


  • Podium
  • Rabu, 02 Apr 2025

Tangkap layar menunjukkan tindakan pantas pengadil ketika cuba menghalang serangan oleh anggota staf kejurulatihan.

SATU insiden luar biasa berlaku dalam perlawanan Liga Peru apabila pengadil perlawanan menumbangkan anggota staf kejurulatihan pasukan yang kalah dengan tendangan karate tepat ke muka.

Kejadian itu berlaku pada minit ke-82 dalam perlawanan Copa Peru antara Sport Huaquilla dan Magdalena CEDEC di Ancash, Peru baru-baru ini.

Menerusi satu rakaman yang tular di media sosial, pengadil perlawanan, Luis Alegre melepaskan tendangan dengan menggunakan kaki kanannya ketika lelaki tersebut cuba memasuki padang.

BACA LAGI: Tiada pengesahan rasmi, berita Gyokores ke Man United mungkin jenaka ‘April Fool’

BACA LAGI: 'Pelik tapi benar', 4 papan telur jadi hadiah pemain terbaik di Liga Norway

Menerusi video itu, lelaki berkenaan dilihat berlari ke arah Luis sambil memegang botol kaca, dipercayai dengan niat untuk menyerang.

Dalam usaha mempertahankan diri, Luis bertindak pantas bagi mengelak serangan dengan melepaskan tendangan tepat ke kepala lelaki berkenaan, menyebabkan dia terjatuh di atas padang, sekali gus mencetuskan campur tangan polis.

Keadaan bagaimanapun semakin tegang apabila pengadil dan pembantunya dikelilingi pemain-pemain yang marah dengan insiden tersebut.

Difahamkan, Luis sebelum itu terlebih dahulu mengeluarkan kad merah selepas salah seorang pembantu pengadil menunjukkan kepada seseorang di bangku pasukan Magdalena.

Walaupun dengan reaksi pantas, Luis berjaya mengekalkan kad merah di tangan kirinya.

Dalam video tersebut juga, lelaki yang menerima tendangan itu dilihat bangun selepas terjatuh, namun kelihatan bingung.

Untuk keselamatannya, dia dipujuk oleh salah seorang pemain untuk tidak bertindak balas dan dibawa jauh dari tempat kejadian.

Perlawanan dihentikan selepas insiden tersebut. Setakat ini, belum ada maklumat sama ada lelaki yang ditendang di muka perlu dibawa ke hospital atau jika tindakan disiplin akan dikenakan terhadapnya dan pengadil terbabit.

Keputusan akhir aksi itu memihak kepada Sport Huaquilla dengan kemenangan 2-1. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram