MEMASUKI musim baharu Liga Thailand, Buriram United berbelanja lebih dengan menandatangani penjaga gol kebangsaan Filipina, Neil Ethridge bagi menjadi benteng terakhir pasukan berkenaan.
Juara bertahan Liga Thailand divisyen satu berkenaan mengumumkan beberapa tonggak baharu bagi mengekalkan mahkota kejuaraan yang dimenangi musim lalu seperti menandatangani Curtis Good, Marcelo Tariyolay dan Etheridge.
Kehadiran penjaga gol berusia 34 tahun pastinya untuk membantu Buriram United di saingan domestik selain cabaran getir menanti di pada pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim ini.
BACA LAGI: 'Dia ada apa JDT perlukan', import baharu Harimau Selatan dilabel pengganti Leandro
BACA LAGI: Belum sempat debut Liga Super, dah dengar khabar angin import baharu JDT kena 'loan' ke kelab luar
Berbekalkan pengalaman beraksi di English Premier League (EPL) bersama Cardiff dan Birmingham City FC, pasti kehadirannya akan melonjakkan kekuatan pasukan gergasi Thailand itu di posisi penjaga gol.
Berita penghijrahan Etheridge ke Buriram itu bagaimanapun menerima maklum balas yang negatif daripada segelintir penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan sebelum ini dia difahamkan akan menyertai Harimau Selatan.
Dengan Etheridge bukan sebahagian daripada perubahan besar yang akan berlaku dalam kem JDT, nampaknya misteri penjaga gol baharu mereka untuk saingan ACLE masih kekal tanda tanya.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah berkongsi petunjuk mengenai perancangan baharu beliau untuk Harimau Selatan menjelang dua bulan mendatang.
"Selamat malam keluarga JDT. Banyak pembaharuan dalam setiap aspek akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan ini," kata Tunku Ismail menerusi ruangan komen pada satu hantaran Harimau Selatan di Instagram.
Walaupun Tunku Ismail yang juga sinonim dengan gelaran TMJ itu tidak memberi petunjuk secara langsung mengenai perubahan berkenaan namun penyokong berpendapat ia berkaitan dengan kemasukan pemain baharu.
Spekulasi mengenai pemain baharu itu timbul apabila sebelum ini juara 10 kali berturut-turut Liga Super berkenaan dalam proses untuk mendapatkan penjaga gol import untuk saingan ACLE. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram