
HARIMAU Muda mungkin mempunyai beberapa pemain terbaik Bawah 23 tahun (B-23), namun kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi mahu rakan sepasukannya berfungsi sebagai satu unit dan tidak beraksi secara individu dalam kelayakan Piala Asia B-23 AFC dari 6 hingga 12 September di Thailand.
Malaysia berada dalam Kumpulan H bersama Thailand, Bangladesh dan Filipina, dengan semua perlawanan berlangsung di Chonburi, Thailand.
Untuk menghadapi lawan dengan baik, pemain berusia 22 tahun itu berkata, skuad berkenaan perlu bekerja sebagai satu pasukan bagi menunjukkan keupayaan mereka untuk layak ke kejohanan itu.
“Semangat itu ada. Kami mempunyai matlamat, kami mahu memberi kejutan kepada peminat dan memberi senyuman di wajah mereka.
“Tetapi kami mesti boleh berfungsi sebagai satu unit dan setiap pemain perlu melaksanakan tanggungjawab mereka. Ini adalah cabaran untuk kita semua,” kata tonggak tengah Selangor FC itu.
Harimau Muda ketika sesi latihan persiapan kekelayakan Piala Asia B-23 di Thailand. — Facebook/FAM
Mukhairi mempunyai reputasi sebagai pemain versatil yang boleh ditempatkan di beberapa bahagian namun di bawah jurulatih, E. Elavarasan, dia dijangka menjadi pemain tengah utama.
Mukhairi berkata, kepelbagaiannya yang perlu ada dalam dirinya adalah untuk bersaing dengan pemain import Selangor bagi mendapatkan tempat kesebelasan utama.
“Kebanyakan import ini telah menempatkan diri mereka dalam kedudukan tertentu dan sukar untuk mengambil tempat mereka.
“Jadi saya perlu beraksi dengan berkesan di posisi lain juga untuk menjadi pemain utama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mukhairi juga tidak sabar untuk bermain dengan pemain berpangkalan di Eropah iaitu pemain tengah, Nooa Laine dan penyerang, Luqman Hakim Shamsuddin di Chonburi nanti.
"Kehadiran Nooa dan Luqman akan membawa perubahan kepada kami,” jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram