SUKA atau tidak, terpaksa beraksi bersama skuad simpanan lazimnya dianggap sebagai hukuman memalukan buat mana-mana pemain bola sepak. Kalau diikutkan, tindakan pihak pengurusan atau jurulatih mana-mana kelab 'menurunkan pangkat' pemain itu bukan sesuatu yang luar biasa, malah sering berlaku dalam saingan liga di luar negara.
Contohnya apabila bintang muda Manchester United, Mason Greenwood yang terpaksa melupakan hasrat untuk kekal dalam skuad utama The Red Devils gara-gara tuduhan mencederakan dan merogol teman wanitanya, Harriet Robson pada Mac 2023.
Bukan saja Greenwood, malah ramai lagi bintang bola sepak yang terpaksa 'menebal muka' beraksi bersama skuad simpanan termasuk Alexis Sanchez dan Romelu Lukaku serta beberapa lagi nama popular gara-gara terpaksa bermain atau menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan yang jauh lebih junior.
Selain dikatakan terpaksa berdepan situasi sedemikian angkara terlibat kontroversi dalam dan luar padang, seseorang pemain itu juga kebiasaannya 'diturunkan pangkat' jika gagal mempamerkan aksi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan tertentu. Senang cerita, berkarat. Main macam budak sekolah.
Jika berpaksikan kepada ego tinggi melangit, bukan tak ada pemain yang memberontak gara-gara 'diturunkan pangkat' sebenarnya. Malah, ada juga yang tidak menunggu lama untuk segera menghantar notis pertukaran status sebaik tidak lagi bersama skuad utama apabila memohon perpindahan kelab pada musim berikutnya meskipun masih berbaki kontrak.
Cuma dari sudut positif, aksi bersama skuad muda dilihat mampu menjadi 'wake up call' buat mana-mana 'insan terpilih' supaya tidak lagi berterusan menjadi permata yang hilang buat pasukan, sekali gus menterjemahkan segala visi dan misi pihak pengurusan dalam usaha memburu koleksi trofi saban musim.
Hadi membuka akaun jaringannya bersama skuad simpanan Perak FC pada Khamis. — Facebook/Hadi Fayyadh
Mengimbau semula senario saingan domestik ketika ini, penyerang muda Perak FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak merupakan antara contoh terbaik bagi menceritakan situasi sebenar apabila akhirnya membuka akaun jaringan pertamanya bersama The Bos Gaurus ketika tumpas 1-2 di tangan Selangor FC II dalam aksi Piala MFL pada Khamis.
Biar ada yang beranggapan pentas Piala MFL itu tidak segah reputasi Hadi yang pernah berkelana ke Jepun sebelum ini, sekurang-kurangnya ia mampu membakar semula adrenalin penyerang Harimau Muda itu supaya tahu penyokong The Bos Gaurus benar-benar menagih sentuhannya sebagai penyerang berbisa sejak menjejakkan kaki ke Stadium Perak, Ipoh.
Bukan apa, jika penyerang tak mampu melakar nama sebagai penjaring, ada baiknya sekadar panaskan saja bangku simpanan. Begitulah sifir mudah buat mana-mana mesin pencetak jaringan. Itu kan tugas sebenar sebagai penyerang.
Rizal (kanan) tenang ketika didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya di sebuah bilik hotel, dua minggu lepas. — Bernama
Pada masa sama, selain Hadi, kelibat bintang kontroversi Sabah FC, Rizal Ghazali yang membantu skuad muda The Rhinos menjinakkan Penang FC II dengan kemenangan tipis 1-0 dalam satu lagi aksi Piala MFL pada Khamis turut mencuri perhatian khalayak.
Katalah apa saja termasuk kononnya Rizal yang terpalit kontroversi apabila dituduh mencederakan bekas teman wanitanya, Hani Farhana Hasrul Sani, 37, buat masa ini direhatkan buat sementara waktu sekali gus terpaksa beraksi bersama skuad muda Sang Badak, hanya pihak pengurusan dan pemain itu yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Apa yang pasti, beraksi bersama skuad simpanan bukanlah penamat segala-galanya buat mana-mana bintang bola sepak. Jika ia dianggap seperti hukuman peti sejuk (freeze player), maka jadilah ia sebegitu. Jika ia dianggap sebagai vaksin booster untuk mengembalikan semula keyakinan pemain, maka begitu jugalah kesudahannya.
Tepuk saja dada, tanyalah selera. Pemain jangan lupa, penyokong hanya menunggu masa untuk bertepuk sorak keriangan jika karier mana-mana pemain bola sepak berkubur sebelum waktunya. Hakikatnya, pemain hanya mencari rezeki dengan bermain bola sepak.
Begitulah mahalnya harga yang terpaksa dibayar seseorang pemain bola sepak. Menang dijulang, kalah pula tak didendang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram