CEO Sabah FC komen aktiviti 'transfer window' 2023, latihan pramusim The Rhinos


  • Podium
  • Ahad, 29 Jan 2023

Antara barisan pemain Sabah FC sewaktu menjalani sesi latihan pramusim di Thailand. — Facebook/SabahFC

KETIKA ini, masing-masing kelab Liga Malaysia (Liga M) sedang sibuk melakukan sesi pramusim sebelum saingan 2023 bermula dan kebanyakannya memilih untuk mengadakan aksi persahabatan di luar negara.

Antara negara yang menjadi pilihan kelab Liga Super ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turkiye dan negara jiran, Thailand.

Mengadakan sesi pramusim di luar negara itu membuatkan penyokong semakin percaya dengan pihak pengurusan yang sentiasa ingin memberikan yang terbaik kepada pasukan kegemaran mereka.

Sabah FC juga antara kelab Liga Super yang tidak ingin melepaskan peluang untuk membuat sesi paramusim di negara luar dan Thailand dipilih sebagai destinasi pilihan.

Mengulas sesi latihan pramusim di negara Gajah Perang itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Marzuki Nasir mengesahkan bahawa pasukannya menjalani sesi latihan pramusim selama 10 hari di sana.

"Hanya saya boleh kongsikan kita (Sabah FC) mengadakan sesi latihan selama 10 hari di Thailand," katanya ringkas kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Marzuki juga sempat mengulas mengenai urusan pemilihan pemain yang mana beliau meletakkan kepercayaan kepada pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk menguruskannya.

WhatsApp Image 2023-01-28 at 20.53.46

Paraiba pernah menyertai kelab berpangkalan di China, Qingdao Youth Island. — Facebook/SabahFC

"Pemilihan pemain 100 peratus kita (pihak pengurusan) letakkan kepercayaan kepada beliau (Kim Swee) dan kakitangan kejurulatihan," jelasnya.

Baru-baru ini, Sabah FC mengumumkan seorang lagi tonggak import baharu iaitu pemain sayap kelahiran Brazil, Jailton Paraiba bagi membantu jentera serangan The Rhinos.

Selain Paraiba, pemain import baharu yang dibawa masuk Sabah FC ialah bek tengah Brazil, Gabriel Peres; arkitek tengah dari Portugal, Telmo Castanheira dan penyerang Nigeria, Jacob Njoku.

Manakala tonggak import yang dikekalkan dari musim lalu ialah pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani dan pemain tengah Korea Selatan, Park Tae-su. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram