‘Tak nak cakap banyak’ — Penyokong desak Selangor tewaskan TFC, sahkan slot final Piala FA


  • Podium
  • Sabtu, 06 Ogos 2022

Penyokong Selangor hanya mahukan kemenangan dan tidak mahu mendengar masalah lain tentang skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

MISI hidup atau mati buat Selangor FC kendalian Michael Feichtenbeiner dalam merealisasikan impian jutaan harapan penyokong Gergasi Merah yang mahu melihat skuad itu melangkah ke final Piala FA 2022.

Berdepan Terengganu FC (TFC) di gelanggan lawan pada Sabtu malam, pertembungan itu dijangka berlangsung sengit apatah lagi kedua-dua pasukan turut memburu tiket beraksi di Piala AFC musim depan jika berjaya muncul juara Piala FA.

Tidak dinafikan penyokong Gergasi Merah sudah lama menantikan pasukan mereka mengecapi kejayaan atau melangkah ke pentas Asia pada musim hadapan sejak bermulanya era tampuk pimpinan Raja Muda Selangor (RMS).

294142264_465203095611424_1784699329125532980_n

Penyokong Gergasi Merah Kuning sudah lama menantikan pasukan mereka mengecapi kejayaan.Facebook/Selangor FC

Baru-baru ini, kekalahan kepada pasukan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di laman sendiri membuatkan kemarahan peminat Selangor sudah berada di tahap maksima dan mereka menggesa agar perubahan segera dilakukan.

Laman Facebook Selangor Fanatik Official turut memuat naik satu hantaran mahu pemain-pemain Selangor bermain penuh semangat dan hargailah sokongan penyokong yang datang dari jauh bersorak demi pasukan.

"MENANG! Itu sahaja jalan yang tinggal ketika ini, tiada lain selain MENANG bukan kami tak ambil peduli masalah pemain, bukan kami tak ambil peduli masalah barisan kejurulatihan.

"Akan tetapi, kalian di atas padang berjuang dan terima habuan sedangkan kami pula berjuang di luar padang makan modal, sebelum ini kami tak pertikai pengorbanan kami, kerana cintakan dan sayangkan pasukan kebanggaan kami (SELANGOR).

"Namun apabila melihat kalian bermain seperti tiada semangat untuk menang, kami kecewa. Sabtu ini berjuanglah sebaik mungkin, atas kertas kita bukan pilihan, buktikan bahawa ia sekadar di atas kertas bukan atas padang," tulisnya.

296317955_470599345071799_6599539968756488061_n

Rata-rata peminat mahu pemain bermain bersungguh-sungguh ketika berdepan TFC. Facebook/Selangor FC

Hantaran tersebut rata-rata disokong oleh penyokong Selangor yang hanya mahukan kemenangan dan tidak mahu mendengar masalah lain tentang skuad Gergasi Merah.

"Betul itu, luahan yang sama, demi cintakan lencana di dada, berjuanglah sehabis mungkin menang kalah tolak tepi semangat juang yang tinggi fans mahukan, Insya-ALLAH ke final kita," kata Mohd Hazizi.

"Peluang ada tapi 50-50 TFC juga pasti mahukan kemenangan, cuma pemain Selangor kena main sampai tiupan terakhir dan jangan cepat berpuas hati kalau dah leading, good luck SFC," ujar Awit Aziz.

"Ya tolonglah kembalikan maruah Selangor dan kembalikanlah kegemilangan Merah Kuning yang digeruni pasukan lain dulu," luah Gagak Hitam.

SEMI-FINAL-FA-CUP

Lebih 40,000 penyokong Terengganu bakal membanjiri stadium untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA. Agensi

Pertembungan antara dua gergasi pasukan bola sepak tempatan bakal menjadi tumpuan seluruh peminat tanah air dalam perlawanan separuh akhir Piala FA pada Sabtu yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

Dilaporkan, lebih 40,000 penyokong Terengganu bakal membanjiri stadium untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Selangor apabila jualan tiket secara online dilaporkan sudah habis dijual. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram