BATC: Rexy optimis tundukkan Jepun


  • Podium
  • Jumaat, 18 Feb 2022

REXY berkata, skuad negara lebih berpengalaman berbanding pemain Jepun yang dihantar pada BATC kali ini.

PENGARAH Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky yakin skuad lelaki berpeluang cerah muncul juara Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 berdepan Jepun pada Jumaat.

Menurut Rexy, keyakinan itu berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki skuad negara berbanding Jepun pada BATC kali ini.

“Saya bukannya memandang rendah Jepun tetapi dari segi pengalaman ia memang memihak kepada kita. Bagi saya, kita dibarisi pemain-pemain berpengalaman dilihat ada masalah untuk mengatasi Jepun yang dibarisi pemain-pemain muda.

“Pemain kita mempunyai kelebihan itu. Tapi yang penting adalah pemain kekal fokus baik dalam kedua-dua acara perseorangan ataupun beregu dan jika itu berjaya dilakukan, saya fikir tiada masalah untuk kita menentang Jepun," katanya.

Pada Khamis, skuad negara tidak berdepan masalah menewaskan Kazakhstan 5-0 selepas mencatatkan kemenangan sama ke atas Singapura pada hari pertama kejohanan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam itu.

Malaysia dijangka menurunkan barisan terkuat bagi berdepan Jepun dengan menampilkan juara All England, Lee Zii Jia sebagai pemain perseorangan pertama selain pemain muda meningkat naik, Ng Tze Yong sebagai perseorangan kedua dan Leong Jun Hao selaku perseorangan ketiga.

Selain itu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula bakal beraksi selaku beregu pertama dan Goh Sze Fei –Nur Izzuddin Rumsani dijangka beraksi selaku beregu kedua negara. Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

batc, badminton, skuad lelaki, rexy manaiky,