BERUSIA 40 tahun dan masih beraksi sebagai pemain bola sepak profesional sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Malah, nama seperti Ryan Giggs, Paolo Maldini, Francesco Totti juga antara yang permain yang masih beraksi walaupun sudah berusia 40 tahun.
Di Malaysia, pemain paling berusia beraksi adalah V. Murugan, yang beraksi pada usia 43 tahun ketika menjadi penjaga gol pasukan Melaka.
Shukor Adan juga bermain untuk Kuala Lumpur City FC ketika berusia 42 tahun sebelum memilih untuk bersara selepas itu.
Terbaharu, pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin dikhabarkan masih mahu terus beraksi dalam liga bola sepak tempatan.
Difahamkan, Indra Putra masih belum menyatakan hasrat untuk bersara sebaliknya menunggu tawaran daripada kelabnya, KL City atau berhijrah ke pasukan lain.
Untuk rekod, nama Indra Putra bukanlah nama baharu sebaliknya sudah cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.
Pemain yang dilahirkan pada 2 September 1981 itu memulakan kerjayanya sebagai pemain bola ketika menyertai Akademi Bola Sepak Perak sebelum diserap masuk ke pasukan utama pada 2002.
Selepas itu dia mewakili beberapa lagi pasukan iaitu Pahang, Selangor, Kelantan, T-Team, Felda United dan terbaharu Kuala Lumpur.
Ketika beraksi bersama Pahang, dia dianugerahkan Kasut Emas Liga Super selepas menjaringkan 15 gol dalam 21 perlawanan.
Indra Putra juga pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan pada Piala Tiger (2002), Piala Asia (2004, 2007) dan AFF Piala Suzuki pada 2008 dan 2014. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram