Aidil kekal, cipta rekod bersama JDT


  • Podium
  • Jumaat, 17 Dis 2021

AIDIL Zafuan mencipta sejarah baharu menjadi pemain paling lama beraksi di JDT. — MFL

PEMAIN bola sepak Johor Darul Takzim (JDT), Aidil Zafuan Abdul Razak bakal mencipta rekod baharu bersama skuad Harimau Selatan.

Majoriti difahamkan, Aidil Zafuan akan menyambung kontraknya selama tiga tahun bersama JDT.

Menerusi khabar terbaharu itu, Aidil Zafuan bakal membuat penampilan sedekad bersama pasukan terbabit selepas menyertai JDT pada 2013, sekali gus menjadi pemain paling lama kekal bersama kelab itu.

Sepanjang bersama JDT, Aidil Zafuan meraih pelbagai kejayaan selepas kelab itu mengharungi transformasi di bawah Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada 2015, Aidil Zafuan berjaya mengemudi barisan pertahanan JDT hingga pasukannya bergelar juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Perlawanan yang menyaksikan JDT menewaskan Istiklol FC dari Tajikistan itu juga melakar sejarah baharu apabila Harimau Selatan menjadi pasukan bola sepak tempatan pertama menjulang piala tersebut.

Selain itu, Aidil Zafuan juga bersama dengan pasukannya apabila menjadi juara Liga Super buat lapan kali berturut-turut sejak 2014.

Sebelum JDT, pemain berusia 34 tahun itu pernah beraksi untuk pasukan Negeri Sembilan pada 2005 hingga 2011.

Sepanjang bersama Negeri Sembilan, anak kelahiran Seremban itu telah membantu pasukan untuk bergelar juara Liga Super dan naib juara Piala Malaysia pada 2005.

Pada 2012, dia mula beraksi bersama pasukan ATM sebelum berhijrah ke JDT setahun selepas itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram