
STADIUM Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah diputuskan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 yang akan berlangsung pada 30 November ini.
Presiden Liga Bola Sepak Malaysia, Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2021 pada Isnin (8 November).
Turut serta dalam mesyuarat mesyuarat pertama itu ialah wakil agensi yang terlibat dalam penganjuran sempena 100 tahun Piala Malaysia termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Ticket Hotline International Sdn Bhd, Datuk Zairil Ayu Ibrahim; Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Azmir Ahmad; Wakil Perbadanan Stadium Malaysia, Mohd Nadzri Abd Wahab dan Ketua Jabatan Sains Sukan FAM, S Sivanesvaran.
“Kesemua pihak diberikan taklimat secara jelas dan terperinci mengenai pengurusan perlawanan akhir itu termasuk daripada aspek operasi dan teknikal, promosi dan pemasaran, penyiaran, media, pegawai perlawanan, keselamatan, pengangkutan dan penjualan tiket secara dalam talian pada final yang bakal berlangsung pada 30 November 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil,” kata MFL dalam satu kenyataan pada Selasa.
Untuk rekod, final Piala Malaysia 2021 merupakan perlawanan pertama yang berlangsung di SNBJ selepas hampir dua tahun sunyi tanpa sebarang pertandingan mahupun kejohanan bola sepak akibat pandemik Covid-19.
Kali terakhir SNBJ digunakan adalah pada 9 November 2019 ketika Harimau Malaya menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelima Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram