Pemain muda perlu tingkat disiplin jika mahu berjaya — Chong Wei


  • Podium
  • Selasa, 26 Okt 2021

CHONG Wei berkata pemain badminton muda negara telah menunjukkan prestasi baik pada kejohanan Piala Thomas.

PEMAIN muda badminton negara harus meningkatkan disiplin diri bagi memastikan mereka mampu mempamerkan prestasi tinggi seterusnya berjaya dalam sukan itu, kata lagenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

Beliau berkata pemain badminton muda negara telah menunjukkan prestasi baik pada kejohanan Piala Thomas, dan beliau berharap mereka mampu mengekalkan prestasi pada kejohanan akan datang.

"Rata-rata yang mewakili negara adalah pemain muda dan baru pertama kali bermain dalam kejohanan besar, ia adalah satu pengalaman berharga buat mereka kerana bukan senang dapat pengalaman seperti itu.

"Saya harap dalam kejohanan terdekat mereka akan terus bangkit dan untuk terus berjaya, mereka perlu tingkatkan disiplin diri kerana ia kunci kejayaan bukan sahaja sukan badminton tetapi untuk semua sukan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu di Sabah yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Pada istiadat itu Chong Wei menerima Jaksa Pendamai (JP) bersama lima individu lain termasuk Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Selepas istiadat, Chong Wei menghadiahkan raket miliknya masing-masing kepada Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, yang mana satu daripadanya pernah digunakan semasa kejohanan Olimpik dan satu lagi digunakan semasa kejohanan terbuka Malaysia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Lee Chong Wei, pemain muda, Piala Thomas