Elinor Barker dedah dirinya hamil ketika raih pingat olimpik


  • Podium
  • Jumaat, 08 Okt 2021

BARKER hanya me­ngetahui dirinya hamil beberapa hari sebelum perlumbaan. — Reuters

PELUMBA basikal trek Britain, Elinor Barker mendedahkan bahawa dia sedang mengandung anak sulung ketika memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Barker merupakan salah seorang daripada empat pelumba Great Britain dalam acara kejar-mengejar berpasukan yang menamatkan cabaran di belakang pemenang pingat emas, Jerman di Velodrom Izu, Ogos lalu.

“Saya dan pasangan seperti tidak percaya, kami rasa sungguh bertuah dan sangat teruja untuk melalui fasa baharu.

“Kami akan melalui kehidupan baharu ini bersama,” katanya, yang mengumumkan berita itu menerusi Twitter pada Rabu.

Bercakap kepada Cycling Podcast, Barker berkata, dia hanya mengetahui dirinya hamil beberapa hari sebelum perlumbaan.

“Ia agak mengejutkan, saya tidak sangka sedang mengandung.

Saya hanya dapat tahu ketika berada di Tokyo dan ketika sudah sedia beraksi,” katanya.

Kehamilan itu juga adalah sesuatu yang mengejutkan Barker kerana dia mengesahkan dirinya menghidap endometriosis, keadaan sakit puan yang menyukarkan kehamilan.

Tetapi, menurutnya, setelah haidnya tiba lewat, dia berunding dengan doktor pasukan dan pakar psikologi mengenai langkah seterusnya.

"Saya sangat gembira kerana saya mempunyai pasukan yang terdiri daripada mereka yang tahu apa yang harus dilakukan dan apa yang tidak selamat, serta berjaya membantu saya kembali fokus pada perlumbaan sehingga tamat," katanya. — Agensi