'Tolonglah cari idea bantu penyerang tempatan'


  • Podium
  • Jumaat, 17 Sep 2021

PENYERANG Selangor, Ifedayo Olusegun (jersi kuning) muncul pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super selepas meledak 26 gol musim ini

KELANGSUNGAN penyerang tempatan boleh ‘mati’ dan sentiasa dibayangi pemain import sekiranya tiada tindakan diambil pihak berkaitan.

Usaha untuk memastikan penyerang tempatan kekal kompetitif adalah wajar demi kebaikan skuad kebangsaan.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, langkah menghadkan kuota dilihat antara cara terbaik untuk membantu pemain tempatan.

“Kalau kita tengok penjaring terbanyak liga musim ini, daripada kelompok 10 terbaik itu, hanya ada Baddrol Bakhtiar tetapi dia bukan penyerang tulen.

“Maknanya, tak ada seorang pun penyerang tempatan. Mungkin hanya kebetulan polisi (pengambilan) lima import itu yang menjadi puncanya. Kalau dulu tiga import sahaja.

“Ada sesetengah pasukan ketika itu, mereka hanya ada seorang pertahanan, seorang pemain tengah dan seorang penyerang import. Jadi, masih ada ruang penyerang tempatan digandingkan dengan penyerang import.

“Tetapi apabila dah lima pemain import, sudah tentu seboleh-bolehnya pasukan akan letak penyerang import,” katanya.

Bintang import kini sedang menjajah carta penjaring terbanyak Liga Malaysia (Liga M).

Musim ini, penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun memecahkan rekod penjaring terbanyak Liga Super dengan 26 gol mengatasi seorang lagi bekas bintang import Liga M, Mohamad Ghaddar yang mengumpul 23 gol pada musim 2017.

Sebelum ini, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali turut mengharapkan Malaysian Football League (MFL) mencari mekanisme terbaik untuk atasi masalah ketiadaan penyerang tempatan berkualiti.

“Kita faham ada kelab dah diswastakan dan ada sponsor, sudah tentu mereka mahukan kejayaan.

“Sebab itu MFL perlu tengok perkara ini dengan teliti dan mengubah sedikit polisi pengambilan pemain import,” kata Mohd Azraai.

Malah bekas pengendali Kedah itu tidak merasakan penyerang tempatan terlalu malas untuk bersaing dengan import.

“Nak tingkatkan prestasi macam mana kalau penyerang tempatan tidak diberikan ruang. Kalau masa perlawanan sebenar, sudah tentu coach akan gunakan pemain import yang ada.

“Melainkan kalau pemain import itu cedera, barulah pemain tempatan diberi peluang. Kalau tidak ada tindakan sekarang, penyerang import akan terus bermaharajalela dan pemain tempatan terus gagal menyinar,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram