PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta berang dengan sikap segelintir pemainnya yang enggan mengambil vaksin selepas Granit Xhaka menjadi mangsa terbaharu Covid-19.
Pemain tengah, Xhaka, 28, terpaksa dikuarantin di Switzerland selepas didapati positif ketika tugasan antarabangsa minggu lalu.
Arteta dikatakan hilang sabar dengan segelintir pemainnya yang mengabaikan arahan kelab untuk mendapatkan dua suntikan vaksin.
"Pemain-pemain akan terhalang dalam beberapa aspek sekiranya mereka tidak mendapatkan vaksin kerana kami tidak mahu terdedah kepada virus itu.
"Jika mereka mengembara atau bersosial di tempat tertentu dan mereka tidak divaksin, risiko meningkat dan kami tidak mahu ia berlaku dalam kumpulan kami kerana pasukan akan menerima padah.
"Kami cuba menerangkan sebab mengapa kami percaya yang ia adalah perkara betul untuk dilakukan dan memastikan semua orang memahaminya.
"Sebahagian pemain tidak mahu divaksin kerana mungkin ia berkaitan masalah kesihatan, mungkin bertentangan dengan kepercayaannya atau cara mereka dididik.
"Tetapi kami mahukan yang terbaik untuk kelab dengan cuba mengurangkan risiko pemain dijangkiti virus berkenaan dan menyebarkannya kepada orang lain.
"Granit perlu kekal di negaranya sehingga Sabtu (esok) dan sebaik dia dilepaskan untuk mengembara, dia akan kembali bersama kami. Namun vaksin bukan satu kewajipan dan kami perlu menghormatinya," kata Arteta.
Arsenal menerima tamparan paling hebat dengan Pierre-Emerick Aubameyang, Alexandre Lacazette, Ben White, Willian dan Alex Runarsson terlepas perlawanan musim ini akibat positif Covid-19.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram