Granit Xhaka disahkan positif Covid-19


  • Podium
  • Khamis, 02 Sep 2021

XHAKA dilihat memiliki simptom Covid-19 sebelum aksi persahabatan berdepan Greece pagi tadi. — Reuters

BINTANG Switzerland, Granit Xhaka disahkan positif Covid-19 setelah menjalani ujian kesihatan sebelum rakan-rakan sepasukannya berjaya mengatasi Greece 2-1 dalam aksi persahabatan pada Khamis, kata Persatuan Bola Sepak Switzerland dalam satu kenyataan.

Pemain berkenaan turut dijangka bakal terlepas untuk beraksi pada Kelayakan Piala Dunia 2022 berdepan Itali pada 6 September.

“Xhaka dilihat memiliki simptom-simptom Covid-19 pada sebelah pagi aksi persahabatan dengan Greece dan dia kemudiannya diarahkan menjalain proses isolasi di biliknya.

“Pemeriksaan awal menunjukkannya negatif tetapi pada sebelah petang hasil ujiannya positif; dan berikutan keputusan positif berkenaan, beberapa staf pasukan berkenaan juga telah diarahkan untuk menjalani proses kuarantin.

“Xhaka kemudiannya turut diasingkan daripada pemain-pemain lain dan tidak menyertai pasukan ketika aksi persahabatan dengan Greece,” menurut kenyataan berkenaan.

Gol-gol Switzerland dalam aksi persahabatan itu dijaringkan oleh Steven Zuber pada minit ketujuh dan Ruben Vargas (min-51), manakala Vangelis Pavlidis menjaringkan gol tunggal Greece pada minit ke-34.

Terdahulu, pemain tengah Arsenal berusia 28 tahun itu sememangnya terlepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Norwich City pada Sabtu gara-gara Xhaka telah dilayangkan kad merah semasa The Gunners dibelasah 0-5 oleh Manchester City minggu lepas. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram