MESKIPUN belum ditayangkan di mana-mana kaca televisyen, siri animasi terbaharu keluaran Monsta, Mechamato berjaya meraih perhatian peminat tempatan dan juga antarabangsa.
Monsta dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Mechamato mendapat pencalonan TOP 5 di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 bagi kategori ‘Watak Animasi Popular 2021’ baru-baru ini.
Bagi peringkat antarabangsa, portal media C21Media dari London, United Kingdom (UK) pula menyenaraikan siri animasi itu antara 50 siri televisyen paling dinantikan di seluruh dunia untuk tahun ini.
Ketua Jenama dan Jualan Antarabangsa Monsta, Faiz Zainal Aabidin dalam kenyataan sama turut mengucapkan terima kasih kepada penonton dan peminat atas sokongan kepada siri animasi keluaran Monsta.
"Kami amat berbesar hati dan berharap para peminat akan terus memberikan sokongan yang padu kepada kedua-dua animasi ini. Teruskan mengundi untuk Mechamato dan BoBoiBoy di anugerah tersebut (ABPBH),” katanya.
Monsta memaklumkan, siri Mechamato akan mula disiarkan di seluruh Asia Pasifik, termasuk di Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, Australia dan New Zealand 4 Disember ini dan di Jepun pada Mac 2022 menerusi saluran Cartoon Network.
Katanya, pelanggan saluran Cartoon Network dapat menyaksikan episod sneak peek istimewa sebulan lebih awal, iaitu pada 6 November.
“Turut mengujakan, siri ini kini sedang dalam proses alih suara ke pelbagai bahasa berbeza termasuk bahasa Korea dan Jepun sebagai persediaan untuk memasuki pasaran antarabangsa,” katanya.
‘Mechamato The Animated Series’ kini dipegang pengedar kedua terkemuka dunia, Jetpack Distribution dari Eropah sebagai pengedar rasmi Monsta di luar Asia Pasifik. — Majoriti