PENGACARA, Ellen DeGeneres mengakui tidak pernah menjangka program bual bicara kelolaannya, The Ellen DeGeneres Show berakhir selepas 19 tahun disiarkan.
Memetik lapran AsiaOne, DeGeneres, 63 berkata, dia sentiasa mengharapkan program temu bual itu menjadi satu rancangan yang mampu membuatkan penonton terhibur dan tidak pernah menyangka ia bertahan hampir dua dekad.
“Sejak hari pertama, saya mahu menjadikan rancangan ini sebagai satu rancangan yang menyeronokkan untuk semua orang. Maksudnya, biar apa pun yang terjadi di dunia luar, rancangan ini akan memberikan kegembiraan kepada penontonnya.
“Saya mahu mereka yang terlibat dan bekerja di sini juga gembira dan saya juga mengambil kesempatan untuk menikmatinya.
“Tapi saya tidak pernah menjangkakan rancangan ini dapat disiarkan selama 19 tahun, saya tidak pernah sangkakan perkara ini.
“Kebiasaannya rancangan temu bual tidak bertahan lama. Jadi ini sesuatu yang luar biasa dan saya amat bersyukur,” katanya ketika menemubual aktor Mario Lopez menerusi The Ellen DeGeneres Show baru-baru ini.
DeGeneres berkata, dia tidak pernah menjangkakan rancangan temu bual itu dapat disiarkan selama 19 tahun.
Pada masa sama, DeGeneres berkata, dia telah menyatakan hasrat untuk menghentikan program itu tiga tahun lalu, namun dia diminta pihak produksi untuk melanjutkan empat tahun lagi.
“Ketika memberikan persetujuan untuk melanjutkan program ini dalam tempoh empat tahun lagi, saya beritahu ia adalah yang terakhir bagi saya.
“Bila saya bersetuju sambung empat tahun lagi, ada yang tanya kenapa tidak cukupkan 20 musim,” katanya.
Bagaimanapun, DeGeneres akui keputusan untuk menghentikan rancangan temu bual itu adalah tepat.
“Sudah tentu saya sedikit beremosi tapi saya rasa itu yang terbaik.
“Namun saya akui berasa agak pelik apabila saya umumkan rancangan ini akan akan berakhir," katanya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram