SUKAN badminton terbukti menjadi aktiviti fizikal yang efektif dengan pelbagai gerakan yang tangkas dan lincah, lapor portal Kompas.
Hampir semua otot digerakkan ketika bermain badminton dan sesuai dimainkan untuk mereka yang mahu menurunkan berat badan atau menguatkan otot.
Namun badminton juga bermanfaat untuk menjaga kesihatan mental kita.
Ketua Pegawai Eksekutif (CE0) Yayasan Kesihatan Mental United Kingdom, Jenny Edwards turut mencadangkan badminton sebagai sebahagian pemulihan bagi pesakit yang mempunyai penyakit mental.
"Melakukan aktiviti seperti badminton selama dua jam setengah setiap minggu dapat mengurangkan tekanan perasaan.
"Aktiviti fizikal ini juga membantu meningkatkan kadar tenaga pesakit dan kesihatan serta stamina mereka selain menambahkan keyakinan diri," jelas Edwards.
Selain itu, bermain badminton juga meningkatkan konsentrasi seseorang. Konsentrasi yang tinggi ketika bermain badminton membantu kita lebih fokus, lebih peka dan pantas.
Bermain badminton turut meningkatkan tahap endorfin seseorang. Endorfin semula jadi dirembeskan oleh badan menerusi senaman serta meningkatkan hormon serotonin dan dopamin iaitu hormon mengawal perasaan gembira. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram