
VOKALIS Kumpulan D'Masiv, Rian enggan terus berdiam diri susulan dakwaan seorang individu di Twitter yang mengaitkannya dengan perbuatan gangguan seksual.
Berikutan itu, vokalis yang terkenal dengan lagu Cinta Ini Membunuhku telah membuat laporan polis demi menjaga nama baiknya.
"Kes sebenarnya masih dalam proses, kes ini sangat mengganggu jadi saya buat keputusan untuk memanjangkan ke pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya memetik laporan portal Suara.
Menurutnya, selepas laporan polis dibuat, individu yang bertanggungjawab menyebarkan perkara itu di Twitter tidak lagi dilihat mengeluarkan sebarang tindak balas.
"Selama berada dalam industri ini, saya tidak pernah melakukan perkara yang bukan-bukan dan apa dituduh itu memang tidak benar," tegas Rian.
Pada masa sama, Rian akui mengenali individu tersebut dan sebelum ini tidak tergamak untuk membawa perkara ini kepada pihak polis.
"Saya kenal dia, sebab itu saya tidak mahu dia terus dipenjarakan sebab perkara seperti ini... Saya masih ada sifat berperikemanusiaan.
"Keluarga juga kata jika saya tidak bersalah, tidak perlu terlalu serius menangani isu sebegini," katanya.
Baru-baru ini tuduhan yang mendakwa Rian telah melakukan gangguan seksual telah tersebar di Twitter yang mana dia dikatakan melakukan perbuatan tersebut di sebuah hotel di Indonesia.— AGENSI