TIGA hari tidur di stesen bas, pemilik Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pesawat ini kini boleh berbangga apabila angan-angannya untuk memiliki kondo tinggi mencecah awan akhirnya tercapai.
Berkongsi kisahnya dengan Malaysia Gazette, Izah Asmadi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, dia membuat keputusan untuk keluar rumah pada tahun 2017 disebabkan beberapa konflik.
"Dengan beg kecil umrah yang ada beberapa helai baju, komputer riba dan resume, saya naik bas menuju ke stesen bas Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
"Tanpa sebarang perancangan hendak tinggal di mana, hendak kerja dengan siapa, saya terjah tanpa berfikir panjang dan perancangan.
"Sampai sahaja di TBS, saya menghantar mesej beberapa kenalan di Selangor untuk merayu supaya dapat sewa rumah dengan bajet RM100. Hari pertama saya tak dapat sebarang maklum balas, maka saya terpaksa tidur di TBS," ceritanya.
Izah menumpang teduh di TBS selama tiga hari.
Disebabkan takut, Izah mencari sudut paling terang serta berhampiran dengan polis untuk dijadikan tempat bermalam.
"Selama tiga hari saya bermalam di kerusi besi sejuk TBS itu menanti jika ada rumah yang boleh disewa.
"Alhamdulillah, hari ketiga saya dapat jawapan daripada salah seorang akhawat Sri Serdang yang sudi untuk izinkan saya hutang deposit sampai saya dapat kerja," katanya.
Seminggu pertamanya, dihabiskan untuk mohon kerja kosong yang ada di Jobstreet, dengan bantuan kawan serumah.
"Saya masih ingat, betapa hampanya hati kerana tidak dapat sebarang tawaran kerja, saya duduk atas lantai termenung menghadap almari usang dengan rambut serabai dalam bilik baju.
"Tidak ada sebarang air mata yang terkeluar. Cuma keperitan yang tidak terucap selama berjam-jam sambil memegang telefon bimbit yang hampir hancur,"katanya.
Kerjaya pertama setelah mengalami ‘homelessness’
Akhirnya, pada minggu kedua, Mohd Farhan Zakaria, adik kepada Tuan Faiz Borong China, hubunginya untuk menawarkan kerja.
Walaupun memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang kejuruteraan pesawat dia memulakan kerjaya sebagai pereka kreatif (creative designer) dengan portfolio yang di simpan sejak di universiti.
"Saya jumpa semangat baru. Cuma, Sri Serdang dan Gombak terlalu jauh. Saya terpaksa naik komuter dan grab untuk sampai ke tempat kerja. Saya tak mampu untuk pindah Gombak sebab tidak ada duit langsung untuk bayar deposit rumah sewa.
"Cuma ada bajet cukup untuk makan sekali sehari dan pengangkutan sahaja. Itupun saya tidur di surau pejabat dan ulang alik seminggu sekali dan makan biskut yang disedekahkan di pejabat. Tebal muka, malu tidak terkata.
"Kadang-kadang saya menangis gastrik sambil buat kerja design," katanya.
Selain tugasnya di pejabat, dia turut melakukan pelbagai kerja sampingan untuk mencari duit tambahan.
"Saya juga cuba untuk buat duit tepi seperti job design freelance pada waktu malam, basuh tandas, kemas rumah orang pada hari minggu.
"Pernah sekali, saya baru selesai kemas rumah orang, salah seorang pelanggan saya panggil interview untuk job freelance.
"Disebabkan saya tak cukup duit untuk balik rumah, saya terpaksa pergi dengan baju hitam yang agak lusuh dan kotor. Saya minta maaf kepada beliau sebab pakai baju yang tidak sesuai dan minta tumpang bilik air untuk bersihkan diri," katanya.
Terpaksa berhenti kerja di Big Mind
Walaupun sebak, Izah terpaksa melepaskan kerja di Big Mind setelah dapat tawaran kerja baharu di Sri Serdang.
"Dalam kepayahan hidup itu, pernah saya tulis di Twitter saya, “Satu hari nanti aku nak duduk di kondo level tinggi paling selesa dengan keluarga, kerja freelance, bangun pagi menghadap awan," katanya.
Bantuan supervisor dan mentornya Muhammad Nazmie Razak membolehkan dia mempelajari lebih banyak ilmu kehidupan, design, bisnes dan marketing.
"Kejayaan kecil hari ini kini, dengan growth mindset yang dilatih, saya berubah menjadi seorang penulis konten dan marketing strategist untuk bisnes sendiri dan clients.
"Sekarang saya mampu memiliki rumah sendiri iaitu sebuah kondo 1,000 kaki persegi di Kuala Lumpur. Bangun pagi tengok awan.
"Setiap kali saya bangun pagi saya teringat tweet saya empat tahun lepas. Cuma, matlamat saya belum tercapai. Lima juta dalam lima tahun. Saya akur dan saya masih perlu tambah baik diri sendiri," katanya.
Kini fokusnya tertumpu kearah melatih skil jualan dan PR.
"Saya percaya skil ini lebih mudah dibentuk jika saya belajar dengan sistem yang betul. Maka, saya menjadi ejen hartanah bersama RockStar Casa Realty.
"Perjalanan saya masih jauh. Saya perlukan sokongan tuan puan. Jika tuan puan perlukan rumah idaman yang selesa, besar di Kuala Lumpur, hubungi saya, saya tolong carikan.
"Saya faham betapa nikmatnya dapat jumpa rumah idaman itu. Mohon doakan kejayaan saya untuk latih diri sendiri ya,” katanya.— MALAYSIA GAZETTE