Pergerakan lidah terbatas punca pelat


  • Sihat
  • Ahad, 29 Ogos 2021

MASALAH pelat menjadikan seseorang sukar untuk bertutur selain membuatkan kurang keyakinan diri.

Pelat adalah ‘kesalahan sebutan’ yang terjadi pada peringkat umur tertentu.

Ia melibatkan masalah penghasilan bunyi (artikulasi) dan juga pola bunyi (fonologi). Yang pasti, ia berkait dengan organ lidah.

Sekiranya sebutan tidak diperbetulkan dan tidak berjumpa dengan pakar, keadaan ini mungkin akan berterusan.

Selain berfungsi untuk merasa makanan, lidah juga membantu kita untuk bercakap dan bertutur dengan baik.

“Sebutan sesuatu huruf banyak dipengaruhi oleh pergerakan lidah kita," kata Pengamal Perubatan Pergigian Kementerian Kesihatan, Dr Mohd Khairul izwan.

Contohnya, huruf R dibunyikan apabila hujung lidah digerakkan menyentuh bahagian langit-langit atas.

Sebutan huruf S pula dibunyikan apabila hujung lidah menyentuh bahagian belakang gigi kacip atas.

Dr Mohd Khairul berkata, bagi sesetengah individu, kebolehan menyebut huruf-huruf ini terbatas menyebabkan mereka menjadi pelat.

"Ketika anda mengangkat lidah di hadapan cermin dan lihat pada bahagian bawah lidah, anda akan perasan satu ‘benang’ halus yang menyambungkan bahagian bawah lidah kita dengan lantai mulut.

"Benang ini disebut sebagai lingual frenum/frenulum. Ia berfungsi untuk menyokong kedudukan serta pergerakan lidah kita,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Beliau berkata, bagi individu yang pelat, lingual frenum/ frenulum lebih panjang sehingga terbentuk lebih ke hadapan daripada posisi yang sepatutnya.

Dalam keadaan itu, katanya, lidah akan terlihat seolah-olah pendek dan menyebabkan pergerakannya menjadi terbatas.

Sebab itulah pada individu begini, sebutan mereka menjadi terganggu sehingga kita menggelarkan mereka sebagai pelat. Keadaan ini disebut sebagai tongue tie atau ankyloglossia,” jelasnya.

Tambahnya, sekiranya keadaan itu tidak mengganggu, maka tiada rawatan diperlukan.

Bagaimanapun, sesetengah bayi yang lahir dengan tongue tie akan mempunyai kesukaran untuk menyusu.

Sekiranya perkara ini berlaku, katanya, pembedahan untuk memotong sedikit lingual frenum/frenulum diperlukan bagi memperbaiki posisi serta mengembalikan fungsi lidah mereka. —ASTRO AWANI

tongue tie, pelat, lidah