BARU-BARU ini kecoh di media sosial berkaitan isu penangkapan beberapa mat rempit yang sedang berlumba di mana seorang daripadanya adalah imam solat Tarawih.
Disebabkan itu, bermulalah beberapa siri pertikaian mengenai status lelaki itu sebagai seorang imam yang terlibat dengan aktiviti lumba haram yang dianggap sebagai sesuatu yang memalukan.
Namun, ada juga netizen yang beranggapan bahawa sesiapa sahaja hatta orang yang mempunyai ilmu agama sekalipun tidak akan terlepas daripada melakukan dosa.
Pengguna media sosial, Mohd Fadli Salleh berkata, imam yang ditahan kerana merempit itu juga manusia biasa.
Tangkap layar komen yang ditinggalkan di Facebook.
"Dia juga mempunyai nafsu, keinginan dan minat. Walaupun kadang-adang minat itu salah pada sisi undang-undang dan membahayakan diri, tetapi dia tetap seorang manusia.
"Dia mat rempit yang boleh menjadi imam tarawih di masjid dan itu adalah sesuatu yang sangat rare dan tak semua mampu lakukan termasuk saya," katanya yang juga aktivis sosial.
Terdahulu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Nadzri Hussain mengesahkan seorang imam di sebuah masjid di Rantau Panjang, Klang, Selangor ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan pada awal pagi Ahad.
Jelasnya, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan kerana melakukan aksi berbahaya sambil menunggang motosikal dengan memakai jubah.
"Turut ditahan ialah lapan individu lain berusia lingkungan 14 hingga 24 tahun dalam operasi sama di sekitar Shah Alam, Klang dan Kuala Lumpur," katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 28A Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram