PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka bakal menyaksikan negeri itu akan mengharungi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Penarikan sokongan daripada dua Adun Umno melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan seorang bekas ahli DAP menyaksikan kepimpinan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali tumbang pada Selasa.
Bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menerusi laman sosial Facebooknya meluahkan rasa kecewa dengan keruntuhan kerajaan Melaka.
Daripada sudut pandang rakyat pula, ramai yang kurang bersetuju dengan PRN ketika negara kini berada dalam proses pemulihan daripada pandemik Covid-19.
Malah, ada yang berpendapat situasi yang dihadapi di Melaka kini adalah hasil daripada ‘asuhan’ Umno ketika kejatuhan Kerajaan Persekutuan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Zawawi Bin Mohamad berkata, situasi di Melaka sama dengan apa yang berlaku ketika pemerintahan Muhyiddin.
“Ingat rakyat tak kecewa ke masa 14 MP Umno tarik sokongan kepada TSMY? Situasi sama je apa yang abg jib dan lain-lain buat,” katanya.
“Itu la namanya karma. Kan hari tu tumbangkan PN tapi yang pelik sekarang Umno tumbangkan Umno,” kata Muhamad Dzakhiri HateTragedy.
Dalam masa sama, ramai juga merasakan perkembangan politik ini meletakkan rakyat di Melaka dalam keadaan tersepit.
“Gila kuasa macam tu la Bila nak undi, kita berjuang untuk rakyat katanya. Bila dah ada kuasa, berjuang untuk isi tembolok sendiri. Fikir-fikirkanlah pengundi di Melaka,” kata Fendy Eto.
“Kesian. Rakyat juga yang merana,” kata Azhan Ishak. — Majoriti