Jalan alpa, sesungguhnya ALLAH rahsiakan gandaan pahala puasa hambaNya


  • Mukmin
  • Isnin, 25 Apr 2022

ALLAH SWT merahsiakan gandaan pahala puasa di dunia kepada hambaNya. — Gambar hiasan

SELEPAS berakhirnya bulan Ramadan, terdapat puasa sunat yang lain boleh dilakukan oleh umat Islam termasuk puasa pada hari Isnin dan Khamis dan puasa pada Hari Arafah pada 9 Zulhijjah.

Selain itu, ibadat puasa pada Hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharam juga sunat dilakukan.

Malah, umat Islam juga disunatkan berpuasa pada 13, 14, 15 haribulan pada setiap bulan Islam Hijrah. Pada tarikh-tarikh tersebut, bulan akan berada dalam keadaan amat jelas kelihatan serta purnama penuh. Ia juga dikenali sebagai Puasa Hari Putih.

Pada masa sama, ramai umat Islam akan berebut untuk menunaikan puasa sunat yang dikenali sebagai Puasa Enam bermula 2 Syawal tidak lama sahaja lagi.

Namun, ada segelintir pihak yang menganggap ibadat puasa selama 30 hari pada bulan Ramadan sudah cukup tanpa perlu melakukan puasa sunat yang lain.

Pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, individu tersebut perlu berhati-hati kerana ia akan menyebabkan tiada keberkatan puasa pada bulan Ramadan dalam kehidupannya.

"Siapa yang ingat tahun lepas daripada Syawal sampai nak masuk Ramadan, sehari pun tak ada puasa sunat, ketahuilah tiada keberkatan puasa Ramadan dia selama 30 hari itu.

"Dan ramai orang yang saya tanya tak ada langsung puasa sunat, yang ni kena muhasabah. Sebab dia boleh menjadi salah satu kayu ukur kepada kualiti ibadat Ramadan kita sama ada diterima atau tidak oleh ALLAH SWT," jelasnya menerusi perkongsian video di laman TikTok.

Mengulas lanjut, Mohamad Wadi berkata, ALLAH SWT merahsiakan gandaan pahala bagi orang yang berpuasa pada bulan Ramadan dan puasa sunat.

Katanya, gandaan pahala puasa itu akan diperlihatkan kepada hambaNya ketika di Padang Mahysar.

"Orang yang berpuasa itu akan gembira dua kali. Yang pertama waktu dia berbuka, yang kedua Nabi kata ketika dia bertemu dengan Tuhannya.

"Besarnya ibadat puasa yang ALLAH rahsiakan ni. Rupa-rupanya rahsia itu ketika mana kita ambil buku amalan kita di Padang Mahsyar dan waktu itu kita akan berasa seronok tengok betapa ALLAH SWT gandakan pahala puasa itu," katanya menerusi video di aplikasi sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram