
KETIKA kanak-kanak lain didedahkan dengan seni mempertahankan diri daripada budaya lain seperti taekwondo, karate, muay Thai ataupun kung fu, namun masih ada ibu bapa memilih anak-anak mereka mendalami seni bela diri warisan antaranya silat.
Inilah dibuktikan oleh Adrean Mohd Safzan Akhtar, 8, yang berjaya meraih gelaran johan pada Pertandingan Persembahan Perguruan Silat anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Sabtu lalu.
Difahamkan, beliau merangkul anugerah itu menerusi kategori solo remaja bawah 13 tahun.
Dalam hantaran dimuat naik oleh Terengganu Voice di Facebook, kanak-kanak lelaki tersebut tetap beraksi dengan baik dan tenang di atas pentas yang disaksikan ramai walaupun berbadan kecil.
Beliau tampil dalam persalinan baju layang rona hitam dan motif warna keemasan, lengkap bertanjak bagaikan pendekar.
Kejayaan dikecapi tersebut turut mendapat pujian daripada warga maya yang rata-rata mereka menzahirkan ucapan tahniah kepada kanak-kanak terlibat.
"Inilah perlu diterapkan dalam diri anak muda supaya budaya bangsa terus dijunjung. Syabas!" kata Yusran Hashim.
"Alhamdulillah, tahniah pendekar cilik," tulis Nizam Gemas ringkas.
"Masya-ALLAH, hebat gerak tari silatnya," komen Siti Aminah Muhamad.
Tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah kepada kedua ibu bapak kanak-kanak berkenaan atas usaha mereka memperkenalkan seni silat kepada beliau.
"Tahniah adik dan ibu bapanya. Pandai asuh bakat anak jadi pesilat berkualiti," ujar Salamah Muhammed. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram