Servis jahit, penghantaran makanan atas air antara perkhidmatan inovatif dari rumah ke rumah di Dubai


  • Maya
  • Ahad, 18 Mei 2025

Tangkap layar memaparkan servis isi minyak dan jahitan yang ditawarkan dari rumah ke rumah di Dubai. — Media sosial

DI sesetengah bandar, penghantaran mungkin sekadar membawa makanan ke pintu rumah.

Tetapi di Dubai, konsep penghantaran dijadikan sesuatu yang luar biasa dengan gabungan gaya hidup mewah dan kecekapan teknologi.

Dari tukang jahit bergerak hingga makanan terapung atas air, bandar tersebut membuktikan bahawa jika sesuatu boleh dihantar, mereka akan cari jalan paling unik untuk melakukannya.

BACA LAGI: 'Naratif alter berpuluh kali tidak betul', jenama fesyen tempatan perjelas isu dakwaan rekaan busana pengantin tidak seperti dijanjikan

BACA LAGI: Dua beradik otak bergeliga Singapura bergelar bilionair, ubah perniagaan kecil kasut ibu jadi jenama fesyen global

 

Berikut Majoriti senaraikan perkhidmatan unik yang ada di Dubai:

1. Perkhidmatan tindik dari rumah

Golongan wanita di sana kini boleh menerima perkhidmatan menindik dari rumah atau di mana-mana lokasi pilihan mereka.

Tanpa perlu berkunjung ke studio atau salon, pakar menindik datang lengkap dengan peralatan khusus yang disanitasi ke kediaman pelanggan.

Servis tersebut mendapat sambutan hangat daripada golongan muda yang mahukan keselesaan serta privasi.

2. Stesen minyak datang kepada pengguna kenderaan

Dalam bidang automotif pula, servis penghantaran bahan api menjadi penyelamat kepada pemandu yang kehabisan minyak di jalan raya atau yang ingin mengelakkan kesesakan di stesen minyak.

Dengan hanya beberapa klik melalui aplikasi, kenderaan pengguna akan diisi semula oleh pasukan profesional yang dihantar ke lokasi mereka.

Lebih menarik, pelanggan hanya perlu menunggu kira-kira 20 minit untuk bahan api dihantar terus ke kenderaan tanpa caj penghantaran.

3. Penghantaran makanan atas air

Jika di Malaysia, penghantaran makanan hanya berlaku di atas darat. Namun di Dubai, terdapat tawaran servis penghantaran makanan atas air.

Sama ada berada di atas bot peribadi atau di kawasan pantai, pengguna boleh menikmati hidangan panas yang dihantar terus ke lokasi mereka menggunakan bot khas.

 

4. Beli-belah secara virtual

Tidak ketinggalan, konsep membeli-belah dalam talian melalui pusat beli-belah maya telah ditingkatkan dengan penghantaran dalam beberapa jam sahaja.

Pengguna boleh membeli dari pelbagai jenama mewah melalui platform digital dan menerima barangan mereka dalam masa yang sangat singkat.

Servis ini nyata memberi kelebihan buat 'kaki shopping' berikutan ia menjimatkan masa dan tenaga.

5. Perkhidmatan jahit bergerak

Servis yang kelima ini pasti jarang didengari kerana ia melibatkan penggunaan mesin dan mungkin ada segelintir yang menganggapnya mustahil untuk direalisasikan.

Tetapi percaya atau tidak, tukang jahit di Dubai juga kini menawarkan kemudahan menjahit pakaian mengikut ukuran terus di lokasi yang diplih pelanggan.

Pelanggan kini tidak perlu lagi ke butik atau kedai untuk melakukan pengubahsuaian pada pakaian, tukang jahit sendiri yang datang kepada mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram