Subsidi RON 95: Bukan hanya MyKad, ada pelbagai mekanisme bakal digunakan


  • Massa
  • Ahad, 21 Sep 2025

RON95 bersubsidi hanya boleh dibeli pengguna warganegara yang memenuhi kelayakan.

PELAKSANAAN subsidi bersasar untuk petrol RON95 akan menggunakan beberapa mekanisme pembayaran dan tidak akan hanya bergantung kepada MyKad fizikal semata-mata.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, orang ramai tidak perlu risau untuk menghadapi kesukaran ketika membeli petrol RON95.

Ini kerana mereka boleh memilih mekanisme lain yang lebih mudah dan pantas bakal disediakan syarikat petrol seperti Setel di bawah Petronas dan Shell App milik Shell.

BACA LAGI: Dewan Rakyat: Dakwaan subsidi LPG mansuh mengelirukan — Armizan

BACA LAGI: Dua syarikat setuju tangguh kenaikan harga selepas tular — Armizan

Armizan menegaskan kerajaan akan memastikan kelancaran mekansime penjualan RON95 bersubsidi.

"Pengguna boleh menggunakan kaedah pembayaran di terminal pembayaran di luar atau di dalam stesen minyak untuk membeli petrol bersubsidi itu. Jadi, jangan khuatir, jangan anggap bahawa MyKad (fizikal) hanya satu-satunya kaedah.

"Walaupun semuanya akan disandarkan kepada kelayakan yang ada dalam MyKad, pembelian itu tidaklah hanya bergantung pada satu kaedah semata-mata," katanya.

Armizan berkata demikian kepada media ketika menghadiri Konvensyen Mahasiswa Sabah di Penampang, Sabah yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta dihadiri lebih 100 penuntut universiti dari seluruh negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sudah memastikan persiapan teliti sejak awal tahun demi kelancaran pelaksanaan mekanisme penjualan RON95 bersubsidi yang akan diumumkan Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

"Kami akan memastikan proses berjalan lancar dan tidak membebankan pengguna kerana tidak mahu orang ramai beratur panjang," katanya lagi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram