
SEBANYAK 21 buah rumah dan sebuah stor musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Kampung Batu Putih Jambatan 3, berdekatan Batu 7 dekat Sandakan, Sabah pada Rabu, sekali gus mengakibatkan dua mangsa termasuk seorang kanak-kanak dan seorang warga emas mengalami kecederaan ringan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.40 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 18 minit kemudian.
BACA LAGI : [VIDEO] Tak sampai seminit, 2 beranak trauma disamun geng bersenjata di Jenjarom
Ketua Zon Bomba Sandakan, Jasri Ab Jal berkata, kebakaran melibatkan struktur rumah kayu tidak kekal yang dibina rapat-rapat, sekali gus menyebabkan api merebak dengan pantas.
"Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 11.41 pagi, sekali gus menyelamatkan 50 buah rumah berdekatan dan tiga buah bot daripada turut musnah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kebakaran yang merebak di kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar (tiga ekar) itu masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta jumlah kerugian yang terlibat.
Tambah Jasri, operasi pemadaman melibatkan penggunaan air daripada jentera bomba, pili bomba dan juga sumber air laut dengan menggunakan tiga saluran hos dan enam muncung pancutan.
Sementara itu, Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Daerah Sandakan, Deputi Supritendan Sham Osman mengesahkan dua mangsa yang cedera telah diberi rawatan awal di lokasi kejadian oleh petugas ambulans.
“Kedua-dua mangsa hanya mengalami kesan melecur ringan dan tidak membahayakan nyawa,” katanya.
Mangsa-mangsa yang terjejas akibat kebakaran kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Batu Putih.
Operasi menyelamat dan bantuan turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta beberapa agensi lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram