[VIDEO] Tak bayar tambang punca wanita dimarahi pemandu bas di Johor — Polis


  • 112
  • Isnin, 06 Mei 2024

Tangkap layar seorang lelaki yang juga pemandu bas memarahi seorang wanita dalam pengangkutan awam di sekitar Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

TULAR satu video memaparkan seorang lelaki yang juga pemandu bas memarahi seorang wanita dalam pengangkutan awam di sekitar Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Tindakan lelaki itu juga mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan warga maya kerana dia dilihat menggunakan perkataan yang kurang sopan dan turut meninggikan suara.

Difahamkan kejadian itu dirakam oleh seorang wanita yang juga penumpang bas henti-henti berkenaan. Wanita itu turut memuat naik video berkenaan ke dalam media sosial miliknya Selasa lalu.

BACA LAGI: Politik pejabat, jadi 'kambing hitam ' antara sebab Gen-Z, milenial tak minat jawatan pengurus — Kajian

Melalui video yang dikongsikan juga memaparkan, pemandu lelaki itu dilihat menghalau keluar wanita terbabit keluar dari bas yang dipandunya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian terbabit dan memaklumkan insiden itu dipercayai berlaku pada 2 Mei lalu di sekitar Johor Bahru, Johor lebih kurang pukul 9.10 pagi.

"Maklumat awal mendapati punca penumpang wanita itu dimarahi pemandu bas henti-henti hingga video kejadian tular di media sosial, kerana wanita itu didakwa tidak membayar tambang.

“Mangsa wanita tempatan berusia 31 tahun membuat laporan polis menyatakan telah dimarahi individu yang merupakan pemandu bas yang sedang dinaikinya pada hari yang sama.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari perasaan tidak puas hati kerana mangsa tidak membayar tambang bas sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Rider melambung rempuh kereta warga emas langgar lampu merah

Tambah Raub lagi, video berdurasi 49 saat di laman sosial TikTok dan Platform X itu viral sejak Ahad.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram