
KES saman fitnah difailkan penyanyi Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana terhadap lima individu termasuk dua rakan seperjuangannya iaitu Lan Solo dan Syura, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Selasa.
Peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana selaku plaintif memaklumkan kepada Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee bahawa anak guamnya dan lima defendan itu telah berbincang untuk menyelesaikan kes saman itu berdasarkan terma penyelesaian yang dipersetujui bersama.
Lima defendan itu ialah Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof dan isterinya, Nur Sheila Hassim, penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi.
Lan Solo (pelitup muka biru), Sheila (tengah), Syura (dua dari kanan) bersama dua orang peguamnya ketika kes masih berjalan. — Instagram/Lan Solo
Pada prosiding itu, kesemua individu terbabit membacakan pernyataan maaf masing-masing, yang kemudiannya direkodkan oleh mahkamah.
"Permohonan maaf ini adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini. Dengan ini, kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang," kata mereka.
Selasa ditetapkan untuk Siti Nordiana menyambung keterangannya dalam kes saman itu.
Dalam saman yang difailkan pada Julai 2021, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai tahun sama, kelima-lima defendan menerusi akaun Instagram masing-masing telah menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.
Dakwa Siti Nordiana, kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.
Juara Gegar Vaganza musim kedua itu mendakwa, kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.
Siti Nordiana mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun YouTube dijangka bertambah dan reputasi beliau telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai, serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram