Wanita Malaysia selamat keluar dari Gaza guna sempadan Rafah


  • Primer
  • Isnin, 13 Nov 2023

Nurul Ain (kiri) turut menerima panggilan video daripada Anwar sejurus tiba di Lintasan Sempadan Rafah. — Wisma Putra

RAKYAT Malaysia, Nurul Ain Haron yang berada di kawasan konflik Gaza bersama suaminya warga Palestin, Mohamed A.M. Shaat selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada Ahad pukul 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan sejurus selepas Nurul Ain dan suami tiba di Lintasan Sempadan Rafah, dia sudah dihubungi melalui panggilan video oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk bertanya khabar.

Evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, semasa lawatan kerja beliau ke Mesir pada 23 Oktober lepas, serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka.

Kementerian Luar turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mesir, Qatar, Kedutaan Besar Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram