SPRM tahan anggota penguat kuasa minta habuan seks daripada wanita terlibat kes dadah


  • 112
  • Jumaat, 10 Nov 2023

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota sebuah agensi penguat kuasa di negeri ini kerana disyaki meminta habuan dalam bentuk seks.

Menurut sumber, lelaki berkenaan yang ditahan pada Khamis malam, dipercayai meminta habuan tersebut sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita kerana gagal melaporkan diri disebabkan kesalahan dadah.

Sumber berkata lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika bersama wanita berusia dalam lingkungan 20-an dalam satu operasi khas di sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira 7.30 malam.

Sumber menambah wanita tersebut dipercayai gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguat kuasa berkenaan dan bagi mengelakkan daripada diambil tindakan, lelaki berkenaan dipercayai telah meminta habuan seks.

"Wanita tersebut pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di sebuah agensi penguat kuasa di Johor Bahru," kata sumber berkenaan.

Susulan penahanan tersebut, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi tujuan reman dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Chai Ing Hien mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini (Jumaat) sehingga 13 November terhadap suspek.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPRM, penguat kuasa, habuan, seks, Johor Bahru,