Jalaluddin Alias selangkah jadi Menteri Besar Negeri Sembilan?


  • Politik
  • Sabtu, 12 Ogos 2023

Jalaluddin (kiri) semakin cerah untuk mempertahankan DUN Pertang.

PENGERUSI Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilihat tidak berdepan masalah untuk mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang apabila mendahului dengan 4,813 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu.

Peluang Jalaluddin semakin cerah untuk menewaskan pencabarnya dari Perikatan Nasional (PN), Amiruddin Hasan, sekali gus mampu mempertahankan kerusi sama yang dimenangi calon sebelum ini, Noor Azmi Yusof pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Jika menang, timbul persoalan sama ada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN sedia memberi laluan kepada pemimpin Umno untuk memegang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.

Terdahulu, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, Jalaluddin perlu diangkat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya blok BN memperoleh lebih banyak kerusi berbanding gabungan PH dalam PRN kali ini.

Kata Khairy, sekiranya senario itu berlaku dan Datuk Seri Aminuddin Harun masih dikekalkan sebagai Menteri Besar, dibimbangi akan menimbulkan masalah dalam dinamik politik di negeri ini.

“Dia tidak boleh kalau PH menang kurang dari BN, (tetapi) Aminuddin (kekal) jadi Menteri Besar, itu matematik yang mana siapa dapat lebih (kerusi) dia jadi Menteri Besar.

“Jadi kalau BN dapat lebih kerusi daripada PH dan BN menang di Negeri Sembilan ini, Datuk Seri Jalaluddinlah angkat sumpah jadi Menteri Besar,” kata Khairy.

Bagaimanapun, Jalaluddin pada Khamis sudah mengulas isu tersebut apabila menyatakan kesemua 18 calon lelaki daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan yang ditandingi gabungan BN dan PH layak untuk menjadi calon Menteri Besar.

"Perkara itu akan dibincangkan selepas kemenangan diraih pada PRN ini.

"BN dan PH buat keputusan akan memastikan semua DUN ditandingi menang kali ini. Selepas itu pemimpin tertinggi kedua-dua parti akan putuskan siapa Menteri Besar. Saya fikir itu tak jadi masalah," katanya.

PRN kali ini menyaksikan PH bertanding di 19 kerusi DUN manakala BN bertanding di 17 kerusi dengan DUN Pertang melibatkan seramai 12,897 pengundi berdaftar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram