Keputusan ujian DNA bukan bukti muktamad beri kerakyatan — Saifuddin


  • Primer
  • Khamis, 25 Mei 2023

Saifuddin berkata, keputusan ujian DNA hanya boleh digunakan sebagai bukti sokongan untuk mengesahkan pertalian darah antara individu dengan ahli keluarga lain, khususnya antara anak, ibu bapa atau adik-beradik. — AFP

PENGGUNAAN keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tidak boleh digunakan sebagai bukti muktamad untuk pemberian kerakyatan Malaysia, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri Dalam Negeri itu berkata, keputusan ujian DNA hanya boleh digunakan sebagai bukti sokongan untuk mengesahkan pertalian darah antara individu dengan ahli keluarga lain, khususnya antara anak, ibu bapa atau adik-beradik.

“Ini kerana setiap pemohon masih perlu mematuhi semua undang-undang lain yang berkaitan terutama berkaitan pendaftaran perkahwinan,” katanya yang menjawab soalan Vivian Wong (PH-Sandakan).

Wong bertanya sama ada Kementerian Dalam Negeri akan mempertimbangkan keputusan ujian DNA sebagai cara muktamad atau rasmi untuk menangani isu berkaitan kelewatan pendaftaran kad pengenalan dan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, kewarganegaraan individu ditentukan daripada pendaftaran perkahwinan dan status kewarganegaraan pasangan semasa kelahiran anak mengikut Perlembagaan Persekutuan, termasuk undang-undang berkaitan dan peraturan Imigresen.

“Semua perkahwinan di negara ini mesti didaftarkan di bawah undang-undang sedia ada yang digunakan. Contohnya perkahwinan bukan Islam perlu didaftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

“Bagi kelahiran yang berlaku sebelum pendaftaran perkahwinan ibu bapa mengikut undang-undang negara, taraf kewarganegaraan anak mengikut taraf kewarganegaraan ibu selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17, Bahagian III, Jadual Kedua Perlembagaan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram