Mengaku keturunan Nabi: Tunggu pengesahan Jakim, baru boleh ceramah, tegas Mufti


  • Primer
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Tangkap layar seorang pendakwah dikatakan berketurunan Nabi tiba di Malaysia baru-baru ini.

JABATAN Mufti Negeri Pulau Pinang tidak akan membenarkan mana-mana pihak menganjurkan majlis ceramah untuk individu yang mendakwa dirinya keturunan Nabi Muhammad SAW di negeri itu sehinggalah mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tentang latar belakang beliau.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ia termasuklah kebenaran dakwaan bahawa dirinya adalah keturunan Rasulullah SAW.

“Minggu ini media melaporkan Malaysia sekali lagi didatangi oleh seorang warga negara asing yang mendakwa dirinya berketurunan Nabi Muhammad SAW.

“Sebagaimana kebiasaan, ada yang menyambut baik kehadiran lelaki berkenaan tetapi tidak kurang pula yang meraguinya.

“Difahamkan Jakim akan menjalankan siasatan tentang lelaki berkenaan untuk memastikan kesahihan dakwaannya,” katanya kepada Majoriti.

Wan Salim

Beliau menjelaskan, sememangnya tidak dapat dinafikan cucu cicit Rasulullah SAW daripada jalur Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib masih wujud.

Ujar Wan Salim, lazimnya mereka dikenali dan diakui oleh masyarakat setempat di mana mereka menetap.

“Namun kita juga tidak menolak kemungkinan berlaku penipuan atau dakwaan palsu oleh individu-individu tertentu yang tidak bertanggungjawab konon dirinya daripada keturunan Nabi Muhammad SAW.

“Justeru saya menyeru masyarakat Islam di negara ini supaya berhati-hati jika ada orang luar yang datang ke sini dan mengaku dirinya berketurunan baginda.

“Ini adalah untuk mengelak mereka menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar setiap individu terutamanya pengunjung yang datang dari mana-mana negara luar diwajibkan mengemukakan dokumen yang sah daripada pihak berautoriti negara asalnya sebagai bukti dirinya memang daripada keturunan Nabi Muhammad SAW.

“Adapun semata-mata dakwaan tidak mewajarkan orang berkenaan diberi kebenaran untuk menyampaikan ceramah atau dakwah di negara ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berpendapat, sekiranya individu tersebut boleh membuktikan kebenaran bahawa beliau adalah keturunan Nabi Muhammad SAW, tidak menjadi masalah untuk dirinya memohon bagi mengadakan ceramah dan berdakwah di negeri itu.

Bagaimanapun, ujarnya, pihak berkenaan perlulah membuat permohonan seperti biasa bagi memastikan beliau layak untuk memberi ceramah.

“Ia tidak menjadi masalah, ramai yang ada salasilah seperti ini yang boleh diperakukan. Maknanya, kalau nak mengadakan ceramah, beliau perlu memohon prosedur di peringkat negeri.

“Peraturannya sesiapa sahaja yang nak mengajar sama ada dalam atau luar negeri perlu dapatkan kebenaran untuk disahkan kelayakan beliau. Ini supaya apa yang disampaikan tidak akan bercanggah dengan peraturan-peraturan kita,” jelasnya.

Abdul Rahman

Sebelum ini, Majoriti melaporkan, umat Islam di negara ini dikejutkan dengan kehadiran seorang lagi pendakwah dikatakan salah seorang keturunan Nabi Muhammad SAW ke-38 yang akan mengadakan sesi ceramah di Malaysia tidak lama lagi.

Hangat diperkatakan di laman media, pendakwah terbabit yang dikenali sebagai Sheikh Sayyid Sabahuddin Al-Husaini disambut dengan meriah oleh sebilangan masyarakat Islam ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), Sepang baru-baru ini.

Mengulas lanjut berhubung hal berkenaan, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berkaitan pendakwah tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram