JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) kesal dengan tindakan individu dan pihak tertentu yang membuat hantaran kurang tepat berhubung pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar di negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, susulan hantaran di Facebook penceramah tersebut pada 5 Mac lepas, terdapat segelintir pihak membuat komen yang mewujudkan persepsi tidak baik terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, pihak berkuasa agama Islam dan kerajaan negeri.
"JAIS ingin menegaskan nasihat yang diberikan kepada pihak penganjur bagi sesi ceramah Ustaz Wadi Annuar adalah selaras dengan ketetapan Seksyen 118, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016.
"Enakmen berkenaan menetapkan hanya Jawatankuasa Tauliah yang mempunyai bidang kuasa memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam di Selangor," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan dua ceramah agama oleh pendakwah bebas tersebut yang dijadual diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan Padang Astaka Tanjong Karang pada 10 dan 11 Mac depan dibatalkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram