SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melakukan aktiviti rekreasi memancing di kolam pancing Afprow 3, Templer Saujana Rawang, Selangor pada petang Khamis.
Baginda ditemani Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut berangkat, paduka anakanda, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Semasa aktiviti memancing tersebut, Seri Paduka Baginda berjaya menaikkan seekor ikan siakap merah dan seekor ikan jenahak seberat 2.5 kilogram seekor.
Seri Paduka Baginda berdua juga berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pengunjung dan para pemancing di kolam tersebut.
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan bersantap di sebuah restoran berdekatan bersama pengunjung restoran tersebut.
Seri Paduka Baginda berjaya menaikkan seekor ikan siakap merah dan seekor ikan jenahak. — Facebook
Di sebalik perkongsian gambar-gambar di Facebook Istana Negara itu, imej santai Yang di-Pertuan Agong mengenakan baju-T berkolar dan seluar khaki mencuri perhatian netizen.
Gaya topi yang dipakai secara terbalik oleh Al-Sultan Abdullah juga membuatkan ramai memuji imej ringkas dan santai baginda.
"Steady je pakai cap belakang tuanku," tulis Epul Annuar di ruangan komen.
Pada masa sama, gambar itu turut menjadi bahan bualan kerana turut merakamkan gelagat seekor kucing yang kelihatan tertunggu-tunggu hasil tangkapan Seri Paduka Baginda.
"Nak menyelit juga si meow ni," tulis Juan Andrea Silva.
"Ha...memang murah rezeki kalau kucing suka teman kan," kata Muhammad A. Rahmat pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram