Dakwa anak dipukul di madrasah, ibu tak mengaku buat laporan palsu


Zuraina Zamri didakwa membuat laporan palsu dengan memberikan maklumat secara bertulis kepada seorang anggota polis di Balai Polis Taman Sri Muda, Seksyen 25, Petaling pada 12.45 tengah malam, 21 Ogos lepas. — Bernama 

SEORANG wanita berusia 45 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada Isnin atas satu pertuduhan membuat laporan palsu yang mendakwa anaknya dipukul oleh pihak madrasah.

Tertuduh merupakan ibu kepada bekas pelatih sebuah madrasah itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Menerusi satu kenyataan media, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan, dengan niat menyebabkan pihak polis menggunakan kuasa di sisi undang-undang yang boleh mendatangkan bencana kepada pihak lain.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 November untuk sebutan semula kes.

“Hakim juga telah memberi amaran kepada tertuduh supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang menyentuh kes berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal berkata, mengikut laporan polis, anak pengadu telah dihantar ke madrasah berkenaan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah selama empat bulan.

Katanya, ibu kepada pelatih itu kemudiannya telah ke madrasah berkenaan untuk bertemu dengan anaknya yang berumur 20 tahun, pada pukul 11 malam, 10 Ogos lalu.

Beliau berkata, pelatih berkenaan memaklumkan bahawa dia telah dipukul, ditumbuk dan kepalanya diketuk oleh warden madrasah tersebut.

“Pelatih itu telah membuat dua laporan polis masing-masing pada 23 Ogos dan 25 September.

“Dalam laporan pertama, dia menyatakan tidak dipukul namun dalam laporan kedua, dia menukar kenyataan itu kepada telah dicederakan oleh pihak madrasah.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut telah dibuat terhadap mangsa di Hospital Shah Alam dan mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa,” katanya.

Pada Jumaat lalu, seorang bekas penghuni sebuah madrasah di Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor mendakwa dirinya telah didera ala militan oleh pihak madrasah.

Namun, Pertubuhan Kebajikan Darussolihin menafikan dakwaan bahawa madrasah Darussolihin yang ditubuhkan bawah badan bukan kerajaan (NGO) itu, melaksanakan penderaan ala militan kepada pelajarnya.

Menerusi satu kenyataan media, selain menekankan ilmu agama, madrasah yang ditubuhkan sejak 2007 menjalankan program pemulihan dan perlindungan, terhadap individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta masalah sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram