Najib sah sihat, sedia hantar semula jalani hukuman Penjara Kajang


  • Primer
  • Jumaat, 23 Sep 2022

Gara-gara kesihatannya semakin pulih, Najib dilaporkan bersedia untuk dihantar semula ke Penjara Kajang. — Bernama

TAHAP kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disahkan berada dalam keadaan baik oleh Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Kuala Lumpur dan dilaporkan bersedia untuk dihantar semula ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara.

Menurut HRC, Najib menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang berada di pusat rawatan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terkini yang dilakukan Pakar Perubatan Rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau (Najib) berada dalam keadaan baik. Beliau juga diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.

"Pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan HRC turut memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang," jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan setelah dimaklumkan keadaan kesihatannya tidak memuaskan.

Dalam pada itu HRC turut mengesahkan, pakar perunding yang berkaitan mengadakan sidang bersama Najib dan ahli keluarga terdekat bagi memaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

najib razak, bekas perdana menteri, umno,