Keluarga Nazrin mahu mohon inkues jika pendakwaan tak buat rayuan


Allahyarham Nazrin Hassan. — Bernama

AHLI keluarga Allahyarham Nazrin Hassan berharap pihak pendakwaan akan membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, yang membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada tuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu, empat tahun lalu.

Dr Abdul Aziz Hassan, 62, berkata, sekiranya pihak pendakwan tidak membuat rayuan, beliau akan bertindak dan memohon inkues.

Menurutnya, rayuan perlu dibuat demi kebenaran dan keadilan terhadap kematian adiknya.

“Walaupun keputusan ini tidak memihak kepada keluarga, namun saya terima apa sahaja sabitan.

“Isu tidak berpuas hati atau tidak, kita kena terima sebagai takdir. Kita mahu terus usaha untuk cari keadilan,” katanya.

Beliau yakin, kebenaran akan timbul dan beliau sekeluarga berdoa agar perkara tersebut selesai.

Sementara itu, kakak Nazrin, Che Elainee Che Hassan, 65, berkata, ahli keluarga menerima keputusan itu dan berserah kepada ALLAH.

“Kami hanya mahu kebenaran, itu sahaja,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, membebaskan Samirah dan dua remaja daripada tuduhan membunuh Nazrin.

Hakim Karim Ab Rahman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng; Dr Prashant Sanberker serta pengawal keselamatan kediaman si mati, Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan bermula pada 6 September 2019.

Isteri Nazrin iaitu Samirah, 47, serta dua remaja masing-masing berusia 20 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, (ketika kejadian), di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Abu Bakar, manakala pembelaan terdiri daripada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram