ANAK kepada seorang Ahli Parlimen di Melaka didakwa menumbuk dan meludah seorang lelaki berusia 49 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Pernu pada, 2 Mei lalu.
Sebuah portal melaporkan, insiden itu didakwa berlaku gara-gara lelaki berkenaan tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan bersikap kurang ajar terhadap ibunya.
Dalam kejadian pukul 12.33 tengah malam itu, individu itu telah menghubungi mangsa, lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan memintanya datang ke rumah.
Memetik sumber, kejadian berlaku ketika mereka berada di sebuah kedai ikan bakar di Umbai sebelum itu, pelaku berang lantas menumbuk kepala mangsa.
“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa telah datang ke rumah lelaki berkenaan di Pernu.
“Ketika di rumah, berlaku pertengkaran hingga lelaki itu berang lalu terus menumbuk kepala mangsa. Lelaki itu juga menghantukkan kepalanya ke muka mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bahagian hidung. Mangsa juga diludah di muka,” katanya seperti laporan itu.
Menurut laporan tersebut lagi, mangsa meminta untuk bertemu dengan ibu individu itu jika benar dirinya bersalah, namun adik lelaki pelaku pula terus menghalaunya keluar dari rumah.
Mangsa yang bekerja sebagai pengurus membuat laporan di Balai Polis Kandang kira-kira pukul 12.36 tengah malam, Sabtu.
“Mangsa membuat laporan berkenaan kerana bimbang tentang keselamatan dirinya dan ahli keluarga,” dedah sumber.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan, namun enggan mengulas lanjut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram