Dadah bernilai RM7.74 juta dirampas di Kedah dan Pulau Pinang, 9 suspek ditahan


  • 112
  • Rabu, 20 Apr 2022

Ayob Khan menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas. — Facebook

POLIS menahan sembilan suspek dan merampas dadah jenis syabu dan ganja seberat 258 kilogram (kg) yang bernilai RM7.74 juta dalam lima serbuan berasingan di sekitar Kedah dan Pulau Pinang pada Sabtu dan Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam operasi pertama Sabtu lepas sekitar pukul 2 petang, polis berjaya menahan empat lelaki di Kepala Batas, Pulau Pinang dan merampas dadah jenis syabu seberat 212kg.

"Dalam operasi kedua pada pukul 4.20 pagi Isnin pula, lima lagi lelaki ditahan di sekitar kawasan Kulim, Kedah dan polis merampas dadah jenis ganja seberat 46kg. Hasil keseluruhan dadah syabu dan ganja yang dirampas itu bernilai RM7.74 juta.

"Kesemua suspek yang berumur 31 hingga 52 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah jenis syabu serta ganja bagi pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua sindiket yang beroperasi secara berasingan itu dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun 2021.

"Sindiket ini berasingan, tetapi modus operandi yang digunakan adalah sama iaitu menyeludup masuk bekalan dadah dari Kelantan ke Kedah, sebelum dadah itu diedar ke pasaran tempatan terutamanya di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

"Sekiranya dadah ini terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh lebih 1.1 juta penagih dadah. Selain itu polis turut menyita tujuh kenderaan dan wang tunai yang jumlah keseluruhannya bernilai lebih RM420,000," katanya.

Ayob Khan berkata, saringan awal mendapati tujuh daripada suspek itu positif dadah jenis methamphetamine dan empat daripada suspek mempunyai pelbagai rekod lampau yang melibatkan kes dadah dan jenayah.

"Kesemua suspek ditahan reman selama lima hingga tujuh hari bermula 17 dan 18 April bagi membantu siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis berharap masyarakat dapat terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di kawasan sekeliling. Sebarang maklumat boleh disalurkan ke talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di 012-2087222," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram