INDIVIDU bergelar 'Datin' dalam rakaman perbualan tular di media sosial baru-baru ini merupakan seorang pegawai kepada bekas Menteri Luar, demikian menurut Wisma Putra.
Pihak kementerian tidak mendedahkan sebarang nama tetapi memaklumkan pasukan petugas siasatan dalamannya telah mengenal pasti individu dalam klip audio yang mengkritik kementerian seperti yang tersebar di media sosial.
"Berdasarkan penelitian bukti dan keterangan beberapa saksi, Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Luar telah mengenal pasti individu yang disyaki membuat rakaman yang mengandungi tuduhan yang tidak berasas berhubung kementerian ini.
"Individu tersebut telah dipanggil untuk membantu siasatan dan beliau telah membuat pengakuan sepenuhnya bahawa rakaman suara tersebut dibuat oleh beliau sendiri.
"Individu yang bergelar 'Datin' tersebut merupakan seorang pegawai kepada bekas Menteri Luar sebelum pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan ataupun Kerajaan Perikatan Nasional," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Wisma Putra berkata, Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Luar akan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan sewajarnya.
"Memandangkan laporan polis berhubung perkara yang telah tular itu telah dibuat pada 11 April 2022 dan ia turut melibatkan individu di luar Kementerian Luar, jadi hasil siasatan dalaman ini akan diserahkan kepada polis," katanya.
Sebelum ini, tular audio berdurasi 135 saat di media sosial berkenaan mesej seorang lelaki kepada 'Datin' yang dipercayai menyatakan permasalahan dalaman kementerian itu.
Isu melibatkan Kementerian Luar memuncak selepas dua diplomatnya di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipanggil balik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram