SEORANG wanita melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Baru Nilai, Nilai, Negeri Sembilan petang Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bakarya Mohd Salleh berkata, wanita berusia 64 tahun itu melecur kira-kira 20 peratus hampir separuh badan akibat kebakaran.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran rumah itu pada 1.10 petang.
"Rumah kayu berukuran 60x70 kaki persegi musnah terbakar dan terdapat seorang wanita yang ketika itu sedang berada di belakang rumahnya. Badan wanita itu melecur hampir separuh badan.
"Anggota bomba menggunakan laluan tepi pagar rumah jiran untuk membawa keluar mangsa dari rumah dan wanita itu telah dihantar ke Klinik Kesihatan Nilai untuk menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di Seremban pada Isnin.
Katanya, api dapat dikawal 30 minit dan operasi berkenaan melibatkan 17 anggota daripada BBP Nilai dan BBP Mantin. Punca dan kerugian masih dalam siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram