'KKM, batalkan status vaksinasi pemegang sijil vaksin palsu'


  • Massa
  • Sabtu, 19 Mac 2022

SEBUAH klinik swasta di Selangor yang menjual sijil vaksin palsu dengan harga RM500 diserbu polis. — Bernama

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan untuk segera membatalkan status vaksin bagi mereka yang memperolehnya dengan membeli sijil vaksinasi Covid-19 palsu.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kakitangan kesihatan yang terlibat dan mereka yang membeli sijil vaksin palsu.

“Pihak berkuasa harus mengeluarkan (membatalkan) status vaksin dengan segera setelah menerima bukti ia diperoleh secara penipuan,” katanya.

Dr Koh menambah bahawa pihak berkuasa harus bertindak cepat untuk menghapuskan aktiviti penipuan itu bagi mengelak semakin ramai orang tidak percaya keberkesanan vaksinasi dan ia membahayakan kesihatan orang sekeliling.

Terdapat laporan mengenai sijil vaksin palsu yang dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sebuah klinik swasta di Selangor yang menjual sijil vaksin palsu dengan harga RM500 diserbu polis manakala di Kota Bharu, empat orang termasuk pengendali klinik itu ditahan polis kerana memalsukan kad vaksin Covid-19.

Pada 20 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, siasatan mendedahkan bahawa banyak kes dikaitkan dengan kes di bawah program Pemvaksinan Pembelian Persendirian. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram