Dua maut, tiga cedera kemalangan di Tanjung Malim


  • 112
  • Jumaat, 18 Mac 2022

KEMALANGAN dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar tiang lampu. — Facebook

DUA maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ketika melalui Jalan Slim Lama di Tanjung Malim, Perak pada Khamis.

Kemalangan itu mengakibatkan Muhamad Faris Amran, 20, yang tercampak keluar daripada kereta berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Syed Umar Syazrim Syed Hashim, 22, disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, dua lagi penumpang berusia 20 dan 23 tahun mengalami kecederaan ringan, dan pemandu berumur 22 tahun yang mengalami luka di bahagian muka, kaki dan tangan, kini menerima rawatan lanjut di hospital sama.

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan kereta Proton Wira Aeroback dinaiki lima lelaki menghala ke Behrang 2020 itu pada kira-kira pukul 12.10 tengah malam, dan semasa kejadian, jalan di lokasi kemalangan agak gelap, di samping keadaannya basah selepas hujan.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar tiang lampu, sebelum terbabas ke seberang jalan, di arah bertentangan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim bergegas ke lokasi ke lokasi kejadian bagi kerja menyelamat sejurus selepas menerima panggilan pada pukul 12.22 tengah malam.

"Pasukan bomba membuat kerja mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dan seorang mangsa yang maut di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram