PENDUDUK di Taman Buana Perdana yang menjadi mangsa banjir kilat pada 7 Mac lalu mahu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menangani isu itu dalam tempoh sebulan.
Merujuk kepada banjir sebelum ini yang berlaku pada 18 Disember lalu, mereka mengadu bahawa jika kerja-kerja tebatan telah dilakukan ketika itu, mereka tidak akan mengalami kerugian dalam kejadian terbaru itu.
Naib setiausaha persatuan penduduk di taman itu, Vigneshwaran Suriyakumaran berkata, penduduk sudah tidak mampu untuk berdepan dengan situasi sama malah ada penghuni yang sudah mula berpindah dari kawasan tersebut.
"Kami mahu penyelesaian holistik," katanya ketika sesi gotong-royong MBPJ di kawasan kejiranan itu.
Menerusi sesi tersebut juga, beberapa penduduk jelas kecewa dengan apa yang berlaku dan mendesak Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir untuk memberikan penjelasan segera.
Mereka mendakwa MBPJ gagal bertindak walaupun penduduk sudah menyuarakan isu banjir kilat yang berlaku di sepanjang Jalan Sri Manja yang juga jalan masuk ke taman perumahan mereka.
Seorang daripada penduduk, Naveen Pathmanathan, 47, berkata, dia mahu satu pertemuan antara MBPJ, penduduk dan pemaju untuk menyelesaikan masalah perparitan dan pengairan di kawasan itu serta langkah-langkah mencegah banjir kilat.
Sebagai maklum balas, Mohamad Azhan berkata, pemaju projek pembangunan di sepanjang Jalan Sri Manja – BH Builders Sdn Bhd – telah bersetuju untuk melaksanakan kerja-kerja tebatan banjir segera di kawasan itu.
Dilaporkan BH Builders, telah bersetuju untuk membesarkan dan mendalamkan longkang tanah sedia ada sepanjang 600m dari Jalan Maju Jaya ke Jalan Sri Manja yang bertindak sebagai longkang takungan sementara sebelum air dialihkan ke sungai.
Pemaju juga akan menaikkan dinding longkang ribut setinggi 0.6m di kawasan yang paling terdedah kepada banjir – persimpangan Jalan Sri Manja dan Jalan PJS 3/25.
Mohamad Azhan berkata, selain itu, BH Builders juga akan memperbesarkan kolam tampung banjir yang dibina oleh mereka.
“Ini semua adalah penyelesaian jangka pendek.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, seorang perunding telah dilantik untuk mengkaji punca banjir di Taman Buana Perdana dan kami akan membuat penambahbaikan berdasarkan cadangan yang dicadangkan.
"Kami juga akan mengadakan sesi penglibatan dengan penduduk dan hasil dapatan itu kita akan ketengahkan dalam pertemuan dengan pemaju," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram