Pendaftaran PICKids seluruh negara dibuka bermula 7 Mac


  • Primer
  • Jumaat, 04 Mac 2022

PENDAFTARAN utk PICKids di seluruh negara akan dibuka bermula 7 Mac. — Gambar hiasan/Bernama

PARA ibu bapa di seluruh negara boleh mendaftarkan anak-anak mereka berumur lima hingga 11 tahun untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) mulai 7 Mac.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan, Protecthealth Corporation Sdn Bhd berkata, sistem pengurusan pendaftaran akan disediakan di seluruh negara melalui aplikasi MySejahtera.

"Ini adalah usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan kesihatan kanak-kanak termasuklah perlindungan terhadap varian Omicron.

"Adalah disyorkan untuk mengemaskini aplikasi MySejahtera kepada versi terkini sebelum meneruskan pendaftaran melalui sistem tersebut," katanya.

Ibu bapa atau penjaga boleh mendapatkan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) pilihan mereka untuk PICKids di www.protecthealth.com.my.

PICKids yang dilancarkan pada 3 Februari sebelum ini dilancarkan di sekitar Lembah Klang.

Sehingga kini, sebanyak 821 kemudahan kesihatan swasta dan 91 PPV 'offsite' di bawah ProtectHealth menyediakan vaksinasi untuk program PICKids.

Setakat 28 Februari, sebanyak 879,264 dos vaksinasi untuk PICKids telah diberikan sejak ia dilancarkan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram