LALUAN Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) melalui udara antara Pulau Pinang-Singapura akan bermula 16 Mac.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan bersama untuk memperluaskan inisiatif VTL itu.
"Inisiatif VTL ini akan membolehkan pengembara yang divaksin sepenuhnya untuk melakukan perjalanan ulang alik bagi laluan Pulau Pinang-Singapura menggunakan syarikat penerbangan yang mengambil bahagian di bawah VTL tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Ka Siong, inisiatif VTL memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ketersambungan pengangkutan udara Malaysia-Singapura di samping membantu memulihkan semula jaringan ekonomi dan perniagaan di antara kedua-dua negara terutamanya dalam sektor pelancongan yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
"VTL yang pertama bagi laluan Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula pada 29 November tahun lepas.
"Inisiatif itu memberikan perkhidmatan kepada 82,906 pengembara yang tiba dari Singapura setakat 28 Februari lalu," ujarnya.
Tambah Ka Siong, VTL Pulau Pinang-Singapura akan bermula dengan empat penerbangan sehari yang dioperasikan oleh syarikat penerbangan di Malaysia dan Singapura.
"Penjualan tiket penerbangan udara VTL akan bermula dalam masa terdekat,” katanya.
Butiran lanjut mengenai syarat prapelepasan dan kemasukan ke Malaysia boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen Malaysia di www.imi.gov.my manakala maklumat tentang keperluan VTL bagi perjalanan ke Singapura boleh didapati di https://safetravel.ica.gov.sg. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram